Saturday, July 10, 2010

Saranan-saranan untuk anda yang bersosial di FB



*Teks ditulis oleh - Fara Al-Kably
Gambar-gambar - dari Google Images


Gambar Profil
1. Pastikan ada foto anda yang terkini dan sebenar diletakkan.

2. Elakkan foto yang melucah dan tak senonoh.

3. Elakkan juga foto yang terlalu serius dan ala korporat, kecuali jika FB itu dikhaskan untuk jaringan kerja semata-mata.

4. Paparkan imej mesra dan ramah.

5. Elakkan foto berdua-duaan atau berkumpulan, kecuali jika FB itu memang dikongsi bersama.

Tab Info
1. Isikan maklumat yang sewajarnya dengan lengkap, tentang status, gender, persekolahan, universiti/kolej, pekerjaan, aktiviti dan minat.

2. Elakkan ianya kosong tanpa maklumat tentang diri anda.

3. Elakkan meletak maklumat yang tidak penting, berlebih-lebihan dan merepek-repek. Kelakar sedikit boleh tetapi biar berpada-pada. Imej dan karakter anda boleh dibaca daripada cara dan nada anda menulis.

4. Apabila berinteraksi dengan sahabat FB anda, lihat Tab Info mereka terlebih dahulu, agar anda dapat serba sedikit maklumat tentang diri mereka. Elakkan bertanya soalan-soalan yang jawapan-jawapan sebenarnya sudah dibentangkan di Tab Info. Ini memperlihatkan ketelitian dan kebijaksanaan anda, dan sama ada anda seorang yang peka atau tidak. Berfikir sebelum bertanya, buat penyelidikan terlebih dahulu sebelum bertanya bertubi-tubi.

Gambar-gambar
1. Pastikan album anda dikawal sepenuhnya dengan penggunaan kawalan privasi. Anda boleh membuka album anda kepada semua orang atau orang tertentu sahaja.

2. Jangan tag orang dengan sembarangan, pastikan orang itu tiada kekangan untuk di tag. Seelok-eloknya pastikan terlebih dahulu sama ada orang itu perlu di tag, kesah atau tidak kesah di tag.

3. Elakkan daripada memperlihatkan dalam rumah dan lokasi kediaman anda, mahupun pejabat dan lokasi pejabat anda. Jika perlu dipamerkan juga, pastikan album tersebut hanya dibuka untuk orang tertentu sahaja. Ada ramai orang jahat yang berpura-pura baik dan mempunyai pelbagai niat buruk. Beringat sebelum kena.

4. Elakkan daripada menulis kaption nama anak-anak anda, terutama sekali apabila anak anda masih di bawah umur 21 tahun. Sebolehnya jangan tag anak-anak anda. Ada ramai orang sakit mental yang kelihatan normal. Mereka ini dibiarkan bebas tanpa rawatan oleh keluarga mereka yang “in denial” dan tidak dapat menerima hakikat ada ahli keluarga mereka tidak stabil mental dan emosi. Cegah sebelum padah. Elakkan anak-anak daripada perogol, pencabul dan penculik.

Komen
1. Respon kepada setiap komen yang diberikan kepada anda, hargai rakan-rakan anda. Komunikasi dua hala sangat penting dalam perhubungan.

2. Hindarkanlah daripada memberikan komen-komen negatif kepada rakan-rakan anda. Bukankah indah jika kita hanya bercakap yang baik-baik sahaja, ia ibarat doa untuk rakan-rakan kita, ia juga baik untuk kesihatan jiwa kita sendiri. Mengkritik atau menegur boleh, tetapi lakukan secara berhemah dan in private.

3. Tegakkan kebenaran hanya apabila ia membabitkan maruah, keluarga, agama, bangsa dan negara. Jangan tegakkan benang yang basah, maknanya janganlah bertekak semata-mata kerana hendak menang, ianya tidak bermakna apa-apa, dan buang masa sahaja.

4. Janganlah menulis komen dalam huruf besar, dari segi etika alam siber, itu tandanya anda menjerit. Anda tidak perlu melakukan itu untuk memberi penegasan di atas kata-kata atau pernyataan anda. Ia melambangkan keperibadian anda yang ego dan kurang ilmu pengetahuan.

5. Elakkanlah menaip tanda soal dengan banyak apabila anda bertanya sesuatu. Satu tanda soal sahaja sudah mencukupi bagi menandakan bahawa ayat anda itu berbentuk persoalan. Tanda soal yang berganda-ganda boleh menggambarkan anda sebagai seorang yang menggelabah, kepoh dan tidak sabar.

6. Elakkanlah juga komen-komen yang bernada angkuh, sombong, besar kepala, ego, kurang ajar, biadap dan kenegerian.

Meluluskan Sahabat FB
1. Luluskan hanya jika memang benar orang itu sahabat anda, ataupun dia direkomenkan oleh seorang sahabat; kecuali jika anda memang ingin mengumpul sebanyak mungkin sahabat baru untuk tujuan tertentu.

2. Anda sebenarnya boleh meletakkan sahabat-sahabat anda dalam kumpulan tertentu dan akses mereka kepada kandungan FB anda boleh dikawal sepenuhnya. Explore FB anda, semuanya ada disitu.

3. Apapun, FB bukan medan pertandingan siapa ramai sahabat. Kualiti lebih penting daripada kuantiti.

Menyertai Kumpulan-kumpulan di FB
1. Jangan sembarangan menyertai kumpulan-kumpulan di FB terutamanya yang berbentuk keagamaan, kepercayaan dan amalan. Siasat dan pastikan terlebih dahulu siapa di balik tabir kumpulan itu, adakah mereka orang yang layak dan diiktirafkan oleh autoriti yang berkaitan.

Penggunaan Berhemah
1. Gunakan FB anda dengan berhemah dan bijak. Anda boleh menggunakan FB untuk mencari sahabat baru, menjejaki semula sahabat anda dan saudara-mara yang terputus hubungan, mengeratkan silaturahim dengan mereka, jaringan perniagaan, kabel pekerjaan, mempromosikan perniagaan anda, meluahkan perasaan, menonjolkan idea, mempamerkan bakat dan banyak lagi perkara berfaedah; tetapi lakukannya secara sederhana dan berpada-pada. Bermain games dan menggunakan aplikasi-aplikasi yang tersedia boleh, tetapi jangan sampai leka dan lalai. Ingatlah bahawa bangsa lain sedang berlumba-lumba mencari ilmu dan memajukan diri mereka, mengapa kita harus terbuai dan leka serta ketinggalan.
...bersambung..


------------------------------------------------------------------------------------------

"The best feelings are those that have no words to describe them..” – Michelle Hammersley.
Site Meter