Sunday, April 17, 2011
Katak Di bawah Tempurung
Katak yang kena serkup dengan tempurung, atau dia sendiri main-main dengan tempurung lantas tempurung itu telangkup dan dia terkepung di dalamnya.
Seperti katak di bawah tempurung merupakan sebuah peribahasa jenis perumpamaan, lain-lain jenis peribahasa adalah bidalan, pepatah dan simpulan bahasa. *Peribahasa adalah susunan kata-kata yang dipilih khas dan mempunyai makna tertentu, mengandungi teladan dan pengajaran, serta dicipta oleh orang-orang Melayu dahulu hasil daripada pengalaman dalam kehidupan seharian mereka. ( * rujukan : Tatabahasa Bestari, Longman.)
Maksud perumpamaan ini adalah orang yang cetek pengetahuan, yang tidak punya percampuran di dunia ini. Bagi saya pula, di dalam dunia sekarang ini, maksudnya menjadi lebih meluas dan merangkumi pelbagai aspek.
Anda boleh dikatakan seperti katak di bawah tempurung apabila :
1. Anda dilahirkan, membesar, bersekolah, bekerja, berkahwin, berkeluarga dan menetap di tempat yang sama seumur hidup anda. Memang tidak salah, tetapi anda boleh menjadi contoh tegar kepada perumpamaan ini.
2. Anda melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi di dalam negara, yang terletak di luar daripada tempat kelahiran anda, tetapi di kampus anda hanya bergaul dengan mereka yang datang dari negeri yang sama dengan anda sahaja, atau mereka yang datang dari sekolah yang sama dengan anda sahaja. Ini seolah-olah anda keluar sebentar dari tempurung anda, kemudiannya masuk ke dalam tempurung baru yang lain, tetapi masih bertempurungan.
Setiap hari anda bertutur menggunakan dialek anda sendiri, akhirnya usahkan dapat mempertingkatkan Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu formal anda pun tiada peningkatan, malahan goyah dan tewas dengan pelajar bukan Melayu sendiri.
3. Anda melanjutkan pengajian ke luar negara, tetapi di sana, anda masih hanya bergaul dengan rakan-rakan senegara sahaja. Pergaulan anda dengan mereka dari negara tersebut atau pelajar dari lain-lain negara sekadar perlu dan semasa di dalam kelas sahaja. Anda masih bertutur dalam Bahasa Melayu tiap-tiap hari, walaupun ketika berpijak di bumi empat musim. Anda masih memakan makanan Melayu yang dimasak sendiri tiap-tiap hari bersama rakan-rakan dari tanahair. Jadi apa perlunya anda dihantar keluar negara?
Saya pernah bertemu dengan beberapa jurutera yang mendapat ijazah dari United Kingdom, tetapi tidak dapat menulis laporan dalam Bahasa Inggeris dengan baik, malahan Bahasa Inggeris yang digunakannya begitu teruk dan hancur sekali, sehingga saya diarahkan oleh pihak atasan untuk mengedit setiap emel dan laporan yang ditulisnya. Alangkah ruginya, sepintar manapun anda, jika anda gagal menyampaikan buah fikiran anda dengan lancar dan jelas.
4. Anda seorang yang berfikiran sempit. Anda tidak mahu meneroka lebih jauh menggunakan minda yang telah dianugerahkan kepada anda. Anda tidak berani mencuba kerana takut gagal. Jadi anda memujuk diri anda sendiri bahawa apa yang ada untuk anda kini adalah yang terbaik, dan memadai untuk anda dan anda tidak perlu lebih daripada itu. Anda hidup di dalam kepuasan yang anda cipta sendiri, sedangkan sebenarnya potensi anda lebih besar dan anda boleh mencapai ke tahap yang lebih tinggi lagi atau lebih luas lagi jika anda sanggup mencuba lebih sedikit, dan keluar sedikit daripada keselesaan yang anda imaginasikan sedang anda alami.
5. Anda hidup dalam keindahan dunia ciptaan anda. Anda tidak mahu melihatpun keindahan di tempat lain, kerana anda takut ia nanti akan membawa igauan kepada anda bahawa apa yang anda ada sudah tidak indah lagi. Contohnya, saya ada kenal beberapa individu yang tinggal di negeri kelahiran saya seumur hidupnya, dan asal sahaja orang yang berhijrah ke Kuala Lumpur, semua dikatanya akan rosak, akan hancur. Pada dia tidak ada lebihnya Kuala Lumpur, hanya ada kesesakan lalu-lintas dan kos perbelanjaan harian yang tinggi, sedangkan sebenarnya kebelakangan ini, kos kehidupan di tempatnya nyata lebih tinggi gara-gara peningkatan harga akibat permintaan yang tinggi dari orang negara jiran yang berbelanja di tempatnya. Kesesakan lalulintas di tempatnya juga nyata lebih hebat lagi kerana pembangunan sedang rancak dijalankan.
6. Anda berasa tidak perlu membuat perubahan pada imej anda selaras dengan pekerjaan ataupun keadaan semasa. Anda masih fikir rakan anda tidak sepatutnya membuat perubahan gaya berpakaian atau stail rambut. Hanya gaya pada zaman sekolah sahajalah yang kena dengan rakan anda itu. Anda tidak suka pada perubahan yang dilakukannya kerana anda mahu rakan anda itu kelihatan sama seperti dahulu. Tapi anda lupa, bahawa perubahan imej seseorang itu dipengaruhi oleh persekitarannya, pekerjaannya, percampurannya dan gaya hidupnya, yang mungkin telah berubah gara-gara dia telah keluar dari tempurungnya, dan anda masih lagi di situ.
Katak pun sekarang jarang mahu kekal di bawah tempurung, lebih baik cari tempat yang sesuai dengan warna dan corak di badannya. Rama-rama pun tunggu masa sahaja untuk keluar dari kepompongannya. Tuntut ilmu pun jangan hanya ke negara China. Jauh perjalanan, luas pemandangan, banyak pengalaman, tingkat pengetahuan. Yang penting cintai tanah tumpah darah anda, merantau keluar tidak bererti anda membenci atau melarikan diri. Kekalkan jati-diri. Di luar sana anda akan belajar untuk lebih menghargai tempat sendiri. Kumpulkan kepakaran dan pengalaman, kemudian kembali untuk berbakti, bukan meninggi dan lupa diri.
Labels:
culture,
lifestyle,
original writings,
psychology
Wednesday, February 02, 2011
Satu Perjalanan Di Dalam "Ladies Coach"
Pada suatu hari, ketika jalan raya di KL begitu sesak, saya terpaksa menggunakan perkhidmatan komuter untuk ke Kompleks Membeli-belah Midvalley.
Nasib baik ada koc khas untuk wanita, berhimpit-berhimpit pun tidak mengapa. Terima kasih kepada KTM Komuter Malaysia kerana begitu prihatin menyediakan perkhidmatan bijak ini. Saya harap penyedia perkhidmatan pengangkutan awam lain di Malaysia akan mengambil langkah yang sama. Ini bukan untuk menggalakkan wanita tidak bercampur dengan lelaki, tetapi bagi pengangkutan awam, dirasakan ianya sangat perlu. Ia boleh mengelakkan persentuhan dengan lelaki yang bukan muhrim, memberi keselesaan kepada kaum wanita, serta mengelakkan daripada diganggu, dicabul dan dicopet.
KTM Komuter ada menyediakan tempat menunggu khas untuk wanita di stesen komuter. Signages juga disediakan dengan jelas, namun sebilangan orang di Malaysia atau mereka yang tinggal di Malaysia, jelas masih belum mencapai mentaliti kelas satu. Masih ada kelihatan lelaki yang menunggu di tempat wanita, terutamanya gadis-gadis dengan teman lelaki mereka. Pada hari saya menggunakan koc wanita tersebut, ada seorang remaja lelaki dengan selamba memasukinya. Apabila kaum wanita bersuara, "Eh koc wanita pun ada lelaki nak masuk!", beliau dengan selamba menyanyi-nyanyi.
Masalah di Malaysia ini, bila ada sahaja sistem baru dilaksanakan, pelaksanaan tidak disertai dengan pemantauan dan tindakan susulan. Memang betul setelah segala signages, rules and regulations disediakan, para pengguna sepatutnya mematuhi peraturan yang disediakan, tetapi civic-consciousness orang di Malaysia pada puratanya masih belum mantap.
Kurikulum kesedaran sivik ini sepatutnya ditekankan lagi di peringkat sekolah dan perlu diwajibkan lulus. Dalam hal koc wanita ini pula, pihak KTM Komuter perlu tegas dan memastikan penyediaan Koc Wanita ini tidak lari dari matlamat asalnya. Enforcement perlu dilaksanakan. Pastikan ada staf disediakan untuk memastikan hanya wanita sahaja di kawasan menunggu wanita, dan hanya wanita sahaja yang memasuki koc wanita. Ia masih terpaksa dilakukan kerana mentaliti sebilangan orang di Malaysia atau mungkin orang yang menetap di Malaysia, masih belum mencapai tahap ada kelas.
Terima kasih KTM Komuter.
Labels:
culture,
lifestyle,
original writings
Subscribe to:
Posts (Atom)